Tuesday, 15 May 2012

5 Strategi Kemenangan Kita


Kemenangan yang diburu tidak mudah untuk dicapai , namun kita tidak boleh putus asa . Kerja kuat dan gigih berusaha adalah ikhtiar yang dituntut sebelum kemenangan dikurniakan oleh Allah swt .
Sebegai sebuah Gerakan Islam , sekurang - kurangnya kita mempunyai 5 strategi utama untuk memastikan kemenangan kekal menjadi milik kita .

1. Taqwa. [ taat ]
Saidina Umar al Khattab Rha pernah mengutuskan surat wasiat kepada Komander Tentera Islam di Iraq iaitu Saad bin Abi Waqqas Rha :
( فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة
Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan . Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik - baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan .
Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar - benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu jua dari musuh - musuh kamu . Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh - musuh mereka .
Sesungguhnya orang - orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt . Jika tidak demikian , tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka . Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki .
"Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita" .Saidina Umar al Khattab .

Berasaskan wasiat Saidina Umar al farouk , petugas parti mestilah memberi perhatian serius agar tiada dikalangan kita terjebak atau terjerumus dalam kancah maksiat dan mungkar . Sebaliknya bertaqwa kepada Allah swt . Melaksanakan apa yang diperintah dan tinggalkan apa yang dilarang oleh Allah swt .
Maksiat dan mungkar menjadi penghalang utama kemenangan dan kalaupun menang , kita bimbang ia hanyalah kemenangan yang rapuh dan menjadi istidraj [ pemberian -kemenangan - yang tidak diredhai oleh Allah swt ]
Semua petugas parti [ pemimpin mahupun ahli biasa ] sewajarnya mempertingkatkan hubungan dengan Allah swt dan senantiasa meletakkan diri dalam situasi beribadah kepada Allah swt. Maksud saya , pastikan apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan adalah kerana Allah swt dan ia menjadi ibadah yang soleh walau hanya menampal poster dan memasang bendera .

2 . Juhud [ gigih dan bersungguh - sungguh ]
Biarpun kita telah menang di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dan kita harapkan kejayaan hatrik di Bukit Gantang , tetapi kita tidak boleh leka dan over confident . Kerana kemenangan kita sebelumnya di Permatang Pauh , Kuala Terengganu atau lainnya dalam pilihanraya yang pernah kita hadapi , semuanya didahului dengan kerja kuat dan gigih . Tanpa kerja kuat kita tidak akan berjaya . Ini realitinya !
Tiada kemenangan yang boleh dicapai hanya dengan menggosok lampu ajaib aladin . Malah lampu itu pun tiada ditangan kita , apatah lagi aladin tidak wujud dikalangan kita .
Ikhtiar adalah satu kewajipan dan kesungguhan adalah satu tuntutan . Jangan ada mereka yang hanya berpeluk tubuh dan membatu diri menyaksi keperluan yang perlu diselesai dan disempurnakan . Lebih malang kalau hanya banyak cakap , komplen sana sini dan memperhabiskan biskut kopi di markaz sahaja .
Saya percaya , jika kita bersungguh - sungguh kita akan menang . من جد وجد

3. Tawakkal . [ bergantung kepada Allah swt ]
Jangan putus harap kepada Allah swt biarpun kita menghadapi kesukaran dalam perjuangan ini . Sekalipun cabaran yang kita hadapi serta tekanan yang kita alami terlalu getir dan berat , setelah kita kerahkan segala upaya yang kita miliki , kita mesti yakin dan sandarkan keputusannya kepada Allah swt .
Setelah gigih berdakwah berhadapan dengan 1001 ragam manusia jahiliyyah , Nabi saw pernah bersabda [ berdoa ] : اللهم قد بلغت فاشهد - Ya Allah ! sesungguhnya telah aku sampaikan [ kebenaran ini ] maka saksikanlah ! -

4. Munazzamah [ sistematik ]
Jangan bekerja atau bertugas secara rawak atau rambang . Sebaliknya bertindak secara terancang dan berpandukan arahan serta peraturan yang telah ditetapkan oleh parti . Setiap tindakan mestilah melalui syura samaada di peringkat UPU , MTD , Kawasan , Negeri atau Pusat .
Sekalipun kita membawa kebenaran , namun tanpa rencana dan strategi yang terancang pasti sahaja kita boleh tewas . Inilah yang telah dipertegaskan oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah . الحق بدون النظام يغلبه الباطل بالنظام
Kebenaran yang diperjuangan tanpa sistematikanya akan dikalahkan oleh kebathilan yang diurus secara sistematik .
Aktiviti dan gerakkerja dalam tempoh yang terhad dan kemampuan kewangan yang terbatas ini mestilah di pastikan bahawa kita tidak membazir masa dan tenaga dengan aktiviti yang tidak menepati sasaran atau gerakkerja yang tidak membawa pulangan besar kepada perjuangan .

5. Istiaanah bissobri was solah . [ mohon pertolongan dengan sabar dan doa ]
Kemenangan yang kita dambakan ini adalah daripada Allah swt , justeru itu kepadaNya kita wajib memohon kemenangan ini . Allah swt mengajar kita agar memohon pertolongan dengan sabar dan solat .
Sabar
Sabar adalah kunci kejayaan dan kemenangan . Tapi ramai yang salah faham dengan menganggap sabar sebagai kalah dan penakut . Bukankah kita mahu Allah bersama kita dalam perjuangan ini ? maka Allah swt telah berfirman : إن الله مع الصابرين - Sesungguhnya Allah bersama dengan orang - orang yang sabar .

Sabar dalam tindakan agar tidak gopoh dan melencong dari matlamat asal perjuangan kita .
Sabar dalam gerakkerja dan tugas . Jangan merungut dan mempersoalkan arahan .
Sabar , agar diri tidak terpengaruh dengan provokasi musuh
Sabar dari panahan fitnah perjuangan yang mungkin dari godaan manusia dan harta
Sabar , moga tidak terlalu excited dengan sorakan ramai dan laungan penyokong yang ramai
Sabar dari terjebak dan terjerumus ke dalam lembah maksiat dan mungkar
Sabar menerima arahan pimpinan biarpun berat dan sukar untuk dilaksanakan
Sabar dengan karenah ahli yang pelbagai ragam
Sabar jua dengan karenah pimpinan
Sabar untuk bertahan dengan akhlak mulia sekalipun berdepan dengan penghinaan musuh
dan 1001 keadaan yang memerlukan kita sabar .
Namun bukanlah makna sabar sehingga membenarkan musuh memijak kepala kita . Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
Wahai manusia ! Jangan sekali - kali kamu bercita - cita mencari musuh sebaliknya mohonlah kesejahteraan daripada Allah swt . Andai bertemu jua dengan musuh , bersabarlah ! Namun begitu , ketahuilah bahawa sesungguhnya syurga itu berada di bawah kilatan mata pedang .

Solat
Membawa maksud munajat dengan memanjatkan doa kepada Allah swt agar Allah memberikan kekuatan kepada kita serta kemenangan yang telah dijanjikan . Serentak itu , agar Allah mengurniakan petunjukNya kepada rakyat atau pengundi dan melembutkan hati mereka untuk menerima mesej perjuangan kita .

Siang kita mengurus organisasi , mengatur strategi dan menggerakkan jentera serta material bagi memburu kemenangan , manakala sebelah malamnya pula kita bersimpuh mengadap Allah penuh khusyu' memohon petunjuk dan kekuatan diri serta memohon nusrah dan maunah buat perjuangan suci ini .

Selamat berjuang Wahai Ansorullah....

Tuesday, 21 February 2012

Proses Tasmi’ , Sabqi dan Muraja’ah


Ramai orang termasuk sahabat2 bertanya tentang sistem hafazan dan murajaah yang baik. Di sini akan saya nyatakan secara umum. Mungkin lain orang lain caranya. Lain pelajar lain gurunya. Justeru anggaplah ini satu perkongsian kecil dari saya untuk perbincangan bersama.

Sistem hafazan dan murajaah saya bahagikan kepada tiga . Pertama dinamakan tasmi’, kedua sabqi dan ketiga muraja’ah. Saya perincikan sebagaimana di bawah.

Tasmi’ :
Merupakan hafazan baru yang akan anda perdengarkan setiap hari kepada guru anda. Tasmi’ juga dikenali dengan nama “ sabaq ”. Ia bermaksud hafazan baru. Hafazan baru adalah bergantung kepada kemampuan dan keupayaan seseorang pelajar. Kebiasaanya adalah satu atau dua muka. Bagi yang mampu mendapatkan dua muka ( sehelai ) untuk setiap hari secara istiqamah, saya golongkan dalam golongan yang excellent. Bagi yang mampu istiqamah semuka saya kira sebagai golongan sederhana dan bagi yang mendapat kurang daripada itu boleh dikelaskan sebagai lemah.

Sabqi :
Merupakan i’adah atau ulangan pada juzu’ yang sedang anda hafaz. Bagi pelajar Darul Quran, seringkali pelik dengan istilah ini apabila saya sebutkan kepada mereka. Teknik ini terkadang tidak popular dan tidak digunakan secara rasmi di sesetengah Maahad Tahfiz. Namun bagi saya ia adalah bahagian yang sangat penting. Contoh mudah untuk anda faham ; sekiranya anda sedang menghafaz juzuk 5 mukasurat ke 8 iaitu helaian yang keempat, maka muka surat 1 sehingga muka surat ke 7 dinamakan sebagai Sabqi. Ia juga dikenali dengan nama “ para sabaq ”.

Muraja’ah :
Merupakan ulangan anda bagi juzuk2 yang telah anda hafaz. Contohnya anda sedang menghafaz juzuk 5, maka juzuk 1 sehingga 4 dinamakan sebagai murajaah. Ia juga dikenali dengan nama “ i’adah ”dan “ manzil ”.
MEMAHAMI KEPENTINGAN TASMI’, SABQI DAN MURAJA’AH
Sebagai seorang penghafaz Al-quran , ketiga2 sistem di atas merupakan perkara wajib yang akan dilalui oleh anda. Justeru, di peringkat permulaan saya nyatakan , adalah teramat penting untuk seorang penghafaz Al-Quran itu memahami sejelas2nya tentang kepentingan setiap sistem tersebut.

Kepentingan Tasmi’ :
Perkara asas yang sedia dimaklumi oleh semua penghafaz Al-Quran. Jika tiada hafazan baru, bagaimana untuk menamatkan hafazan 30 juzu’. Cuma persoalannya adalah sama ada cepat atau lambat, banyak atau sikit dan rajin atau malas.
Bagi saya, kadar yang paling baik adalah sederhana atau pertengahan. Jangan terlalu ghairah untuk tergesa2 dan menghantar tasmi’ dengan begitu banyak. Jangan pula terlalu lembab atau ‘penakut’ dengan menghantar tasmi’ ‘ala kadar’ sahaja.
Manusia sebenarnya diciptakan dengan sifatnya yang sentiasa menyukai benda baru. Sentiasa pula inginkan sesuatu yang baru dan mudah jemu dengan yang lama. Ini tiada kaitan dengan poligami ye ( selingan ). Lumrah dan sifat ini seringkali mendorong seseorang penghafaz Al-Quran itu untuk menambah dan menghantar hafalan barunya sebanyak mungkin. Saya tidak katakan ianya negatif. Mungkin juga ia satu fenomena bersifat positif dan membina. Tetapi saya tekankan, ianya sangat2 negatif bilamana penghafaz Al-Quran itu mula mengabaikan murajaah dan hanya ghairah mengejar hafalan baru. Hasilnya? Semakin banyak dihafaz semakin banyak yang dia lupa.
Kepentingan Sabqi atau Para Sabaq :
Komponen atau sistem dalam hafazan yang sangat jarang diambil berat dan paling kerap diabaikan oleh sejumlah penghafaz Al-Quran. Antara faktornya ialah

  •  Tidak tahu tentangnya
  •  Merasakan ianya tidak pentin
  •  Menyamakan ianya dengan muraja’ah, manzil atau i’adah

Secara peribadi saya nyatakan, Sabqi amat2 penting dan WAJIB diambil berat oleh para penghafaz Al-Quran. Sabqi TIDAK SAMA dengan muraja’ah.Antara faktor kenapa anda gagal mendapat muraja’ah dan i’adah dengan baik adalah disebabkan anda tidak menitikberatkan persoalan Sabqi. Saya menjalani sistem ini dan sangat memberi perhatian kepada ulangan Sabqi saya sehingga tamat menghafaz Al-Quran.
Cuba fikirkan, secara ringkas saya bawakan contoh. Anda biasanya menghafaz atau mendapatkan hafazan baru pada waktu malam sebanyak satu muka, dua muka atau lebih. Biasanya selepas maghrib anda akan fokus untuk hafaz dan sebelum tidur anda telah pun mendapat target yang anda mahukan. Kemudian hafazan tersebut akan di ‘kemas’kan secara rapi selepas subuh sehinggalah anda masuk ke kelas pagi untuk tasmi’. Semestinya perkara pertama bila menghadap guru anda di waktu pagi adalah untuk tasmi’ hafazan baru.
Baik, perhatikan pula kepada minda dan ingatan anda waktu itu. Hanya hafazan baru yang menguasai ingatan. Pastinya waktu sebelum masuk tasmi’, anda benar2 ‘nampak’ susunan ayat2 dalam kepala. Kemudian barulah anda tasmi’ dengan lancar. Adakah selepas tasmi’ semuanya patut berakhir? Jawapannya adalah TIDAK. Tetapi kesilapan yang sering anda lakukan adalah menjawab YA. Semuanya anda akhiri selepas tasmi’.

Kenapa? Kerana anda tidak perlu menghantar Sabqi kepada guru anda. Anda tidak mempunyai ‘paksaan’ untuk itu. Anda akan kembali ke tempat duduk, kemudian mula mengulangi muraja’ah dan i’adah. Sedarkah anda, andainya selepas zohor atau selepas asar anda diminta membacakan ayat2 yang pada sebelah paginya anda dapat tasmi’ dengan lancar dan baik, anda sekali2 TIDAK AKAN dapat membacanya bahkan mengingatinya dengan baik? Semuanya berterabur dan ‘tak nampak’. Sudah saya nyatakan sebabnya, iaitu kelompangan pada Sabqi.

Otak anda boleh dibahagikan kepada tiga. Bahagian depan, tengah dan belakang.
Kenapa paginya anda boleh tasmi’ dengan baik tetapi petangnya apa yang anda tasmi’ pagi tadi telahpun anda lupa? Kerana hafazan pagi tadi hanya berada dibahagian hadapan otak anda, bukan masuk ke tengah jauh sekali ke belakang. Senang kata, hanya “bermain2 di depan pintu masuk”. Bila2 masa sahaja ia akan keluar balik. Bagaimana untuk menjadikan hafazan baru anda itu dapat masuk ke belakang atau sekurang2nya ke tengah?
Caranya adalah, selepas anda tasmi’ yang baru ( samada semuka, dua muka atau lebih ) anda kembali ke tempat duduk, ulang semula hafazan tersebut dan campurkan dengan tasmi’ anda yang semalam , kelmarin sehinggalah ke awal juzu’. Perhatikan ; kiranya anda baru sahaja menghantar tasmi’ mukasurat ke 12 juzuk 6, maka anda perlu ulang balik kesemua 12 mukasurat juzuk 6 itu dan lebih baik kalau anda dapat hantar Sabqi itu untuk disemak oleh ustaz. Saya berani katakan bahawa, SABQI LEBIH SUSAH UNTUK DIULANG BERBANDING MURAJA’AH. Kebiasaannya, tasmi’ semalam dengan kelmarin sudah terbang entah ke mana. Justeru berhati2 dan tolong berikan perhatian sewajarnya pada Sabqi anda.

Kepentingan Muraja’ah atau Manzil atau I’adah :
Sistem ini umumnya diketahui dan diamalkan secara konsisten oleh kebanyakan Maahad Tahfiz. Umumnya semua penghafaz Al-Quran tahu tentangnya dan kepentingan i’adah untuk diri mereka.
Bagi anda yang murajaah anda dikawal oleh guru kelas anda, banyakkan bersyukur meskipun anda rasa tertekan dan sebagainya. Cuma yang bermasalah adalah yang amanah muraja’ah adalah di bahu mereka sendiri. Situasi ini berlaku pada sesetengah Maahad Tahfiz yang tiada sistem murajaah dan juga kepada penghafaz Al-Quran yang telah khatam menghafaz Al-Quran. Mereka2 inilah yang sangat susah mendisiplinkan diri mereka untuk murajaah segala juzuk2 yang telah mereka hafaz. Sudahlah tak masyi, ditambah pula dengan sikap sambil lewa dan malas, akhirnya beban amanah juzuk2 yang dihafaz terabai sebaliknya sibuk mengejar benda2 yang lain.
Nasihat saya, tolong dan tolong, buatlah jadual murajaah untuk diri sendiri secara konsisten dan disiplinkan diri anda dengan jadual tersebut. Malas macam mana sekalipun, pastikan anda ulang sekurang2nya setengah juzuk dengan baik dan benar2 ingat. Anda sendiri tahu betapa pentingnya menjaga muraja’ah.
Saya nyatakan, lebih baik TAK LANCAR daripada TAK INGAT. Jika anda tak lancar tetapi konsisten murajaah, ianya seribu kali lebih baik dari anda tidak murajaah secara konsisten dan akhirnya anda tak ingat. Sebab itu bila ramai yang mengadu kepada saya tentang murajaah mereka, saya tanya samada ‘tak ingat’ atau ‘tak lancar’. Biasanya anda bukan ‘tak ingat’ tapi ‘tak lancar’. Kalau begitu keadaanya, bersabar dan teruskan murajaah secara konsisten. TETAPI sekiranya anda ‘tak ingat’ hafazan2 belakang, anda sebenarnya dalam bahaya.Buat akhirnya, fikirkan kata2 saya : UNTUK MENG ‘HAFAZ’ MURAJA’AH YANG LAMA BERKALI GANDA LEBIH SUSAH BERBANDING MENGHAFAZ HAFALAN YANG BARU. Fikirkan.

Friday, 10 February 2012

Akhlak Mulia dan Taqwa jaminan ke Syurga



Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepada sebahagian para Sahabatnya : "Sesungguhnya apabila kamu bertemu dengan saudara-saudaramu sekalian,maka percantikkanlah pakaian kamu,perbaikilah tunganggan kamu, sehingga kamu itu seolah-olah tahi lalat di kalangan manusia, Sesungguhnya Allah tidak menyukai ketidaksopanan dan kurang adab [ berkata Syeikh Abdul Fattah :Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Imam Ahmad dan Al-Hakim dalam 'Mustadrak' daripada hadith Sahl bin Al-hanzaliah r.a] 
Berkata Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah : Maksud disini (tahi lalat) adalah hendaklah mereka itu terselah dengan kecantikan dan kebersihan mereka dengan bau-bauan yang harum dan penampilan yang kemas sepertimana jelasnya tahi lalat di rupa wajah yang cantik dan dengan tahi lalat itu wajah tersebut bertambah terserlah.
Berkata Al-Imam Al-Qurafi dalam kitabnya " Al-Faroq" ( ketika beliau sedang berbicara tentang kedudukan adab berbanding amal , dan menjelaskan bahawa adab lebih didahulukan mengikut turutan ) : Ketahuilah bahawa Sesungguhnya sedikt daripada adab lebih baik dari banyaknya amalan ,oleh kerana itu telah berkata Ruwaim seorang yang alim dan soleh kepada anaknya : "Wahai anakku jadikanlah amalanmu seperti garam,dan adabmu seperti tepung iaitu perbanyakkanlah beradab sehingga nisbahnya itu seperti banyaknya tepung daripada garam ( dalam adunan) ,maka banyaknya adab dalam keadaan amal yang sedikit lebih baik daripada amal yang banyak tetapi kurang adabnya" [ dinaqalkan oleh Syeikh Abdul –Fattah Abu Ghuddah di dalam kitabnya 'Min Adabi Al Islam ]
ISLAM meletakkan aspek akhlak di kedudukan tertinggi sekali gus membuktikan Islam agama mementingkan keperibadian ummah yang luhur. Malah Nabi SAW diutuskan Allah sebagai pembina akhlak sekalian umat Islam.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu amalan seorang hamba yang paling berat timbangannya pada hari kiamat melebihi akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Hadis ini mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menjalani kehidupan di dunia dengan akhlak yang mulia kerana akhlak mulia seseorang mukmin membuktikan dia sudah memperkasakan jati diri serta keimanannya.
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Dan sesungguhnya sebaik-baik keislaman seseorang adalah yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat As-Suyuthi)
Oleh itu, di samping kita memenuhi segala perintah Allah mengerjakan amal ibadah wajib dan sunat, soal akhlak tidak boleh dipandang remeh kerana kepincangan berlaku dalam masyarakat hari ini semua berkait dengan keruntuhan akhlak yang semakin merisaukan.
Nabi SAW pernah didatangi perwakilan, lalu mereka bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, siapakah hamba Allah yang dicintai-Nya? Nabi SAW menjawab: Orang yang baik akhlaknya.” (Hadis riwayat Al-Haitsami)
Amalan ibadah yang ikhlas kepada Allah disertakan budi pekerti terpuji, seseorang itu dijamin Rasulullah SAW mendapat ganjaran besar di hari akhirat kelak.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Saya menjamin sebuah rumah yang paling tinggi tingkatnya di syurga bagi orang yang berbudi pekerti.” (Hadis riwayat Al-Haitsami)

Kita juga seharusnya menjadikan berdoa sebagai amalan memperbaiki akhlak dengan budi pekerti luhur kerana Nabi SAW sentiasa berdoa yang bermaksud: “Dan berikanlah hidayah padaku agar baik akhlakku. Tidak ada yang mampu memberi hidayah untuk memperbaikinya kecuali Engkau.” (Hadis riwayat Muslim)

Untuk memperbaiki akhlak diri, kaedah terbaik ialah dengan sentiasa bermuhasabah serta merenung perjalanan hidup melalui tingkah laku, pertuturan atau budi ditabur kepada masyarakat. Jika apa dilaksanakan menepati piawaian, dengan izin Allah kita tampil sebagai seorang yang hebat.
Janganlah anggap dengan menjaga solat saja maka kita dikira hebat di sisi Allah kerana akhlak diri akan menjadi kayu pengukur seterusnya untuk menjadikan kita mukmin dikasihi Allah.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Penyebab utama masuknya manusia ke syurga adalah bertakwa kepada Allah dan kebaikan akhlaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Lihatlah susunan tertib orang yang dibenarkan masuk ke syurga Allah iaitu pertama, orang yang bertakwa dan memiliki budi pekerti baik. Malah Nabi SAW juga mengatakan ganjaran akhlak baik sangat tinggi sehingga menyamainya dengan amalan orang yang rajin berpuasa dan solat malam.
Begitulah tingginya kedudukan insan berakhlak mulia dan sewajarnya ibu bapa dalam mendidik anak perlu menekankan pembinaan akhlak mulia yang akan melahirkan modal insan memiliki jati diri serta berketrampilan.
Akhlak yang baik juga membolehkan seorang hamba mendapat tempat hampir dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak.Ini dijelaskan Nabi SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat tempat duduknya dariku pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).


Usah pandang remeh urusan pendidikan akhlak kepada anak sejak kecil lagi kerana ketika itu mereka lebih mudah dibentuk berbanding apabila sudah dewasa dan terdedah pengaruh sekeliling yang menjurus tingkah laku negatif.
Justeru, mendidik anak dengan akhlak sempurna dan menepati kehendak agama seharusnya diutamakan ibu bapa. Kita harus percaya kekuatan iman dan takwa tidak tertakluk kepada amal ibadah spiritual semata-mata kerana akhlak dan budi pekerti mulia turut meningkatkan kekuatan iman.